Khamis, 15 Mei 2008

Adeebayor Gegar KL!!


ANDAI pihak penaja berjaya, peminat bola sepak tempatan bakal menyaksikan kelibat ayam tambatan Arsenal, Emmanuel Adebayor di depan mata mereka apabila kancah Piala Antara Benua bermula, hari ini. Kunjungan pemain tinggi lampai itu cerah apabila dikatakan akan menyarung jersi skuad negaranya, Togo yang mewakili Afrika dalam kejohanan lapan negara itu membabitkan barisan Bawah 23 Tahun.


Perkembangan terbaru ini disahkan Naib Presiden Kanan Octagon Asia, Mariqar Iqbal yang juga promoter kejohanan apabila menyebut sudah melakukan permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Togo untuk memohon pelepasan Adebayor daripada Arsenal bagi menjayakan misi membawa penyerang lincah itu ke bumi Malaysia.


“Kedatangan Adebayor memang dinantikan peminat bola sepak di negara ini dan juga pihak media. Kami sudah berusaha sebaik mungkin membawanya beraksi di kejohanan edisi kali ini. “Skuad Togo dijadualkan tiba esok (hari ini), tetapi Adebayor pula akan diterbangkan terus dari London ke Kuala Lumpur dan seperti yang diketahui Liga Perdana Inggeris sudah berakhir.


Segala urusan penerbangan pemain itu juga sudah kami uruskan. “Persatuan Bola Sepak Togo juga menyenaraikan namanya dalam senarai 18 pemain untuk Piala Antara Benua yang dihantar kepada kami, dan jika tiada aral melintang Adebayor akan beraksi di sini, ” kata Mariqar.


Walaupun gagal membantu Arsenal menjuarai sebarang gelaran musim ini, bekas penyerang Monaco itu tetap mengharungi musim cemerlang dengan menjaringkan 24 gol di Liga Perdana Inggeris untuk muncul penjaring kedua terbanyak di belakang Cristiano Ronaldo daripada Manchester United. Mariqar turut menambah bagi edisi tahun depan pasukan seperti Itali, Turki, Jepun dan Korea Selatan akan diundang.


Dipetik dari Berita Harian


0 ulasan: